Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday 30 June 2009

Benarkah "Puaka" Kini Mewarnai Perjalanan Politik Negara Bahkan Menghantui Kehidupan Beberapa Orang Mahasiswa/i UM??


Kelmarin saya dihubungi oleh salah seorang sahabat, wartawan Harakah bagi mendapatkan respon saya berhubung penyiaran beberapa dokumentari you tube berhubung isteri PM ke-6.

Kebetulan saya sendiri sudah menonton beberapa tayangan itu melalui capaian you tube, dan mengulangnya beberapa kali bagi meneliti dokumentari tersebut daripada pelbagai sudut. Termasuklah meneka-neka apakah "nawaitu" pembikin dokumentari itu...iya sudah tentu kita tidak mahu diheret ke dalam "nawaitu" yang songsang.

Setelah melihat dan berusaha memahaminya maka beberapa perkara yang saya boleh rumuskan ialah :


  1. Dokumentari itu sangat jelas, tidak langsung berselindung baik di sudut individu-individu yang terlibat memberi pandangan dan membuat ulasan..bahkan sukar untuk ditolak kefahaman mereka terhadap apa yang mereka utarakan..kerana yang terlibat boleh lah difahami sebagai "orang rapat" kepada individu yang mereka perkatakan. Bahkan, individu yang kediamannya dikatakan menjadi lokasi pernikahan dua orang besar negara ini.


  2. Ada nilai sejarah dan asal usul individu yang sedang dibicarakan yang selama ini kita tidak pernah perolehi. Iya... seseorang yang "hebat" itu mesti bermula daripada "sebuah perjalanan" yang juga hebat, saya percaya begitu. Dan umum berhak untuk tahu, bukan atas alasan mencari kelemahan tetapi memahami "kehebatannya".


  3. DS Rosmah Mansor & PM6 wajar dan wajib ambil tahu dan menyelesaikan "masalah" yang berbangkit daripada you tube "Puaka" ini kerana mereka berdua adalah ikon kepada rakyat, pemimpin negara yang sudah pasti meletakkan mereka berdua itu dalam kedudukan "public figure" apatah lagi selari dengan nazam perjuangan PM6 iaitu SATU MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN maka sudah tentu mereka berdua juga menjadi "hak rakyat" . Justeru, sekarang ini segala persoalan yang membungkami kepala otak rakyat berhubung "kebersihan" mereka berdua sangat-sangat menuntut kepada respon dan jawapan segera! Jika tidak, saya pasti berontak rakyat tidak akan hanya dilihat di dinding kampus UM bahkan barangkali akan ada di mana-mana, dan kita tidak mahu ianya terjadi begitu kerana...iya bukankah kita berkongsi SATU MALAYSIA yang sama?!


Tiga klip video: Rosmah perlu bersihkan imej
Salmiyah Harun Wed Jul 01, 09 9:32:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) -Sebagai wanita pertama negara Datin Seri Rosmah Mansor yang menjadi liabiliti kepada perjuangan Umno dan suaminya Dato' Seri Najib Tun Razak wajar mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memburukkan beliau.


Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Aljundi menegaskan sebagai 'first lady' yang sentiasa menjadi tumpuan ramai tidak boleh kekal mendiamkan diri.

"Jika tidak mempertahankan, ia seolah-olah ada benarnya juga," kata Athirah merujuk laporan dalam satu portal berita baru-baru ini.

Hampir dua minggu tiga klip video berupa dokumentari pendek yang menyiarkan beberapa orang yang dikatakan saudara terdekat Rosmah Mansor memberi gambaran negatif terhadap beliau.

Apa yang jelas, bagi Athirah belenggu 'hitam' yang membayangi wanita pertama itu akan terus menghantui perjalanan politik negara.

"Isu-isu 'C4' misalnya dikaitkan langsung dengan beliau. Malah rakyat juga percaya Najib duduk di bawah telunjuk Rosmah dan ternyata ia sangat sukar untuk dinafikan," katanya.

Beliau juga menolak penyebaran klip video itu bukan semata-mata satu konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Bagaimanapun apa yang menimbulkan tanda tanya, kata Athirah tidak pernah berlaku dalam sejarah negara 'first lady' menjadi tumpuan pemimpin besar negara luar malangnya sehingga kini masih tidak terjawab oleh beliau.

"Najib sebagai Perdana Menteri tetapi Rosmah yang lebih berperanan dalam sidang tertentu, Najib pula tidak menonjol," katanya.

Justeru, tegas Athirah, Rosmah harus membersihkan nama baiknya dan membuat penafian terhadap klip video tersebar itu sepertimana beliau pernah membuat kenyataan tidak mengenali wanita Mongolia.

Tiga klip video yang tersebar itu memaparkan beberapa individu yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rosmah. Video yang disebarkan dalam 'you tube' itu semakin mendapat perhatian pengunjung internet.

Video berupa dokumentari itu, menyiarkan beberapa interview yang membongkar kisah perjalanan hidup Rosmah Mansur dari awal kemuculannya hinggalah beliau menjadi isteri Najib Tun Razak.

Ekoran kemunculan klip video itu, dilaporkan dua pelajar Universiti Malaya Izuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Sharuddin Ahmad Rosli meringkuk di balai polis sejak minggu lalu.

Mereka didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "puaka" dan "Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin mendakwa dihubungi dua anggota polis Cawangan Khas berhubung video yang memburuk-burukkan isteri perdana menteri.

Badrul Hisham dilaporkan tidak mengetahui tentang penerbitan video itu. - azm _

Monday 29 June 2009

Keputusan Majlis Raja-Raja Menangguhkan Pindaan Peraturan Tujar Agama Merupakan Satu Lagi TAMPARAN Buat Pentadbiran PM Ke-6!

Berikut merupakan berita terkini berhubung keputusan Majlis Raja-Raja yang telah menangguhkan satu usaha pindaan Perlembagaan berkaitan peraturan tukar agama yang heboh diperdebatkan sejak 22 April 2009 yang lepas. Bagi saya ianya suatu yang sangat wajar dan secara tidak langsung ia juga memanifestasikan 3 perkara utama terhadap pemimpin BN yang sedang menerajui pemerintahan negara iaitu :
  1. Kegagalan Menteri Kabinet BN memahami dan menghormati keluhuran perlembagaan negara yang meletakkan kuasa berhubungkait dengan hal ehwal agama Islam itu di tangan Raja-Raja Melayu dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.
  2. Sikap dan tindakan SONGSANG pemimpin Islam khususnya di dalam UMNO yang bercakap mahu memperjuangkan "Izzah" Islam tetapi dalam banyak keadaan dan keputusan ianya membuktikan sebaliknya.
  3. Satu lagi tamparan ke atas pentadbiran Malaysia di bawah PM Ke-6.

Saya percaya keputusan ini akan menyerlahkan kewibawaan dan autonomi kuasa yang ada pada institusi Majlis Raja-Raja ini. Dan keputusan ini juga tentunya membahagiakan kita semua yang memperjuangkannya. Allahu Akbar!


Majlis Raja-Raja tangguh pindaan peraturan tukar agama (malaysiakini)
Jun 29, 09 6:18pm
Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).


Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini.


Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Bernama.Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ke mesyuarat itu.


Menurut kenyataan itu, semua Raja hadir kecuali Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah; Sultan Kelantan diwakili Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra; Sultan Perak diwakili Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.


Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.


Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.


Taklimat dibatalkanBerikutan keputusan Majlis Raja-Raja tersebut, satu majlis taklimat untuk ahli parlimen beragama Islam mengenai pindaan tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir.Taklimat tersebut dijadual diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada jam 6 petang hari ini.Mereka dijemput oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menjaga halehwal agama Islam.


Tiada sebarang alasan rasmi diberikan berhubung pembatalan tersebut, tetapi menteri yang menjaga halehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia kerana ahli parlimen terbabit sibuk dengan jadual masing-masing.


Katanya, taklimat tersebut akan diadakan kemudian tetapi tidak mengulas lebih lanjut.Pada 16 Jun lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan tersebut sedang diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

Saturday 27 June 2009

Ketabahan Seorang Mama...Sahabatku NORA


22 Jun yang lepas, damai dinihari sesudah solat Subuh pagi itu aku menerima "sms tamu" daripada seorang rakan seperjuangan..CheGu Bard...mencari tempat perlindungan katanya buat anak seorang teman yang menjadi mangsa kerakusan nafsu "seorang syaiton" yang juga pernah ku gelar dalam lewat puisiku suatu masa lalu sebagai "manusia yang di matanya bersinar api dari mulut naga"....

Namun lantaran hambatan pelbagai kewajipan..hanya kelmarin aku berkesempatan menyusuli sms itu... di samping persoalan yang dikemukakan juga oleh seorang sahabat yang juga aktivis rakyat dan bloggers Ummu Asiah perihal persoalan yang sama.. Berdasarkan jawapan ringkas Bard dan maklumat daripada Kak Narshita maka aku segera melayari blog rakan aktivis kami di nnora75reform.blogspot.com ....

Sungguh aku tergamam seketika...mataku berkaca...nafasku sebegitu beralun perlahan dan berat... Ku amati satu demi satu luahan rasanya di blog itu meski masih penuh berahsia...

Membacanya seolah mengheret aku untuk jauh bertaaruf dengan sahabatku ini yang memang masih banyak yang kami belum mengerti meski pernah berkongsi satu alas tidur yang sama...satu lantai simen yang sama...satu bumbung yang sama...terkurung di satu sangkar besi yang sama....lantaran mendokong satu perjuangan yang sama "Kebangkitan Rakyat" menentang kezaliman Regim Barisan Nasional.... Iya....Penjara Pudu...kami bermukin selama 3 hari 2 malam....

Nah, ku kira Nora selepas ini aku dan kami semua sahabat seperjuanganmu akan lebih mengerti, bahkan akan lebih memahami..hatta insyaAllah akan lebih bersamamu mengharungi "badai dan ranjau kehidupan" yang kita semua masih bertatih untuk belajar...

Buat para pembaca..ku perturunkan desis dan getus hati seorang Mama...Sahabatku NORA..


Kepada Anak Ku,
Mari dekap pelukan ini,
Lupakan sesal dan kesal hidup,
Ingat,
Duka mu adalah duka mama mu juga,
Akan mama dakap biar segala duka itu lemas dalam pelukan mama,
Akan mama dakap biar segala kegelapan itu terhapus dengan cinta mama,
Anak ku,
Sedarlah kelak,
Ada perkasa yang merupa manusia – iblis di dalamnya,
Ada sateria yang bersikap mulia – jijik sebenarnya orangnya,
Anak ku,
Sedarlah, kala ribut itu datang, kala malam itu kelam, kala siang mu membungakan segala derita – percayalah mama masih di sini – menerima
Buat yang tidak orait – kau pikul segala dosa – kerana kau sendiri tidak punya maruah – mungkin hilang sifat bagai manusia.
Anak ku – derita itu derita mama jua.


Hari ini, aku, kak narshita, adik asiah dan Dr. Wardah segera berziarah ke rumah baru Nora yang kini berusaha "menyusun semula kehidupannya yang hilang"..... Rupanya...kata Nora dia tidak punya lain-lain sahabat melainkan kami aktivis perjuangan yang senantiasa bersama TURUN ke jalan raya.... aduhai sahabat...fahamilah..


Bersama Kak Narshita, Adik Asiah, Nora dan 2 Orang Puterinya... InsyaAllah moga Allah memberi aku, Wardah dan Kak Narshita kekuatan dan kelapangan untuk membantunya...



Mendengar kisah lanjut Tragis Nora.




Thursday 18 June 2009

10 Wakil PAS Tolak Kjaan Perpaduan - malaysiakini



Jun 18, 09 5:22pm
Sepuluh ahli parlimen PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini - mengisytiharkan beramai-ramai penolakan kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada mursyidul am untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang "tidak pernah merupakan agenda PAS."

Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat berkenaan, diedarkan dalam satu sidang media di lobi Parlimen. Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).


Mesyuarat ukhuwah

Sementara itu di Kota Bharu, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

"Saya sendiri akan menjemput Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian..

"Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.

"Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh," Nik Aziz dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan hari ini.


Ustaz Halim tegaskan tidak pernah bincang kerajaan perpaduan - MESTI BACA & FAHAMKAN GUNA IMAN DAN AQAL


Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jun 17, 09 5:51:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini menegaskan persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Ketika menjawab soalan dari ahli Parlimen BN Putatan, Marcus Mojinggoh di Dewan Rakyat, Ustaz Halim (PAS Pengkalan Chepa) menyatakan, adapun kenyataan balas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti.

Untuk makluman, Ustaz Halim berbahas hari ini dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pindaan 2009.Isu kerajaan perpaduan dijawab selepas memberi respon kepada Marcus yang bertanyakan isu tersebut dalam perbahasan semalam.

Beliau merujuk pertanyaan beberapa ahli Parlimen BN yang mahu penjelasan mengenai kenyataan Ustaz Nasharudin yang dilaporkan berkata beliau positif ke atas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai isu kerajaan perpaduan.

Kenyataan Ustaz Halim kemudian disambut oleh beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Lim Kit Siang (DAP Ipoh Timur) yang menyifatkan kenyataan Najib adalah hanya untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat sahaja.

Kit Siang seterusnya menyatakan, kenyataan Najib itu sebenarnya tidak terkesan kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya umpan sahaja.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, dilaporkan menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai isu kerajaan perpaduan.

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Terdahulu, Najib Razak berkata beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

"Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS," katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel ke-17 di ibu negara semalam.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan itu, Najib berkata ini adalah satu titik permulaan tetapi beliau perlu juga melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti itu. _

Wednesday 17 June 2009

Nik Aziz gesa Nasharuddin keluar PAS - malaysiakini


Jun 17, 09 1:29pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan meletakkan ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan."Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi.


Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas Pakatan Rakyat. "Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok.

"Apa buat sampah, menyusahkan," menteri besar Kelantan dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan tersebut seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, lapor Bernama.

Kenyataan tokoh ulama PAS ini yang paling keras pernah dikeluarkan selepas menuduh beberapa pemimpin atasan PAS yang bersetuju dengan idea tersebut sebagai "boneka Umno."

Khamis lalu, mengulas isu kerajaan perpaduan yang semakin bercelaru dalam PAS susulan kemunculan semula isu tersebut ketika muktamar awal bulan ini, Nik Aziz berkata: "Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas."Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno."

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz dilaporkan berkata "beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS Kelantan menerimanya sebagai calon di parlimen tersebut" pada pilihanraya umum 2008.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau juga berkata PAS dan Pakatan Rakyat kini "telah masuk perangkap Umno" berhubung isu berkenaan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan Pakatan Rakyat sedang berpecah," katanya.

Beliau juga dilaporkan berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada gabungan pembangkang untuk jawatan menteri.

"Kalau semua setuju...PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya.


[Laporan penuh menyusul]

Umno perangkap PAS isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz


Rabu, Jun 17, 2009

Umno perangkap PAS isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz

Salmah Mat Husain Wed Jun 17, 09 4:18:25 pm

MYTKOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.


Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu padangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.


"Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan."


Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya."Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.


Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.


"Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru."Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS."Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini," tambahnya.


Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dilaporkan percaya PAS ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetus presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - mj _


Wednesday 10 June 2009

Enam Daripada Tujuh Beradik...


Dari KIRI : Along, Su, Ustaz, Wan (Me), Pappu & Angah.


WARISAN LOGAN'S FAMILY


Tuesday 2 June 2009

Muktamar ke 55 - Persediaan PAS untuk menggantikan Umno

Oleh : YB. DR. Dzulkifly Ahmad

-Outreach XPDC Dakwah Kita Bersaudara Bumi Kenyalang,
April 2009, Feri Batang Saribas-

Sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya.

Natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik.

Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.

Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan 'Risalah Perjuangan Parti Politik Islam' ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah.

Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu "Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55".

Penulis ingin pertama-tamanya merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan.

Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.

Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya.

Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang 'dhoruri' dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.

Menggantikan kepimpinan Umno bagi kelompok Islam-Melayu

Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini.

Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu.

Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu.

Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam.

Penulis, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.

Telahan para 'pundit' politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau 'reengineer' kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.

Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat) .

Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi.

Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya.

PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam 'Malay Belt' atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur.

PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih �mixed� dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.

Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?

Bersama menggandingkan kekuatan menjatuhkan Umno-BN

Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa.

Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri.

Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif.

Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai 'mercu tanda' pengurusan sarat rasuah Umno-BN.

Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara.

Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics).

Sindrom takut kalah Umno, takut menang PAS

Di persimpangan 'Politik Transisi' yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi 'Sindrom Takut Kalah' atau 'Atichyphobia- Fear of Failures', sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya.

Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah 'Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success'.

PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya' atau 'Ketulenan keIslamannya' lantas curiga serta khawatir untuk menempuh 'jalan-jalan' yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya.

Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur.

PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini.

Kesimpulan

Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi� dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.

PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus 'tag-line' - 'PAS Untuk Semua' dan 'Islam Untuk Semua' melalui program-program perjuangan yang lebih 'Inklusif' menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.

Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan 'asnaf muallaf' termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu 'fiqhiy' (legalistik) kepada paradigma pemikiran 'Usuliy dan Maqasidiy' (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih 'daqiq' (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa.

Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua'malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.

Inilah antara pengisian agenda "Penampilan Agenda Politik Islam PAS" dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.

PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu 'eksklusif' dan 'centrik' yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.

Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan.

Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan! (Penulis adalah AJK PAS Pusat). - mr_

Permohonan maaf Norzula bersihkan nama Husam dan kerajaan Kelantan - Peguam

Sumber :harakahdaily.net



KUALA LUMPUR, 2 Jun (Hrkh) - Permohonan maaf yang dibuat Adun Paloh, Norzula Mat Diah kepada Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa berhubung beberapa laporan tidak benar pada tahun 2007 disifatkan telah membersihkan nama Husam dan kerajaan negeri Kelantan.


Menurut satu kenyataan peguam Husam, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek Norzula telah membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini (Selasa 2 Jun 2009) dalam akhbar Berita Harian di muka C12.


Dalam laporan itu kata Ahmad Shabrimi, suatu notis permohonan maaf telah dikeluarkan Nozula Mat Diah kepada anakguamnya (Husam) dengan menyatakan permohonan maaf tanpa sebarang syarat.


Notis tersebut berbunyi:


"Saya, YB Dato Nozula Mat Diah dengan ini dan dengan sepenuh hati memohon maaf tanpa sebarang syarat kepada YB Dato' Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas terhadap beliau kepada BPR pada 2007. Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan tersebut dan seterusnya menyatakan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada beliau dan keluarga beliau serta memburukkan keperibadian beliau."


Menurut Ahmad Shabrimi, pada akhir November 2007, dua orang Adun Barisan Nasional, Dato' Nozula Mat Diah dan Adun Bukit Bunga Muhd Adhan Kechik telah membuat laporan kepada pihak BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas terhadap Husam.


Antara laporan tersebut adalah:



  • Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri Kelantan, Hussam Musa.


  • Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn. Bhd.


  • Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd.


  • Isu Kedai Majlis Daerah Machang.


  • Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.


  • Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan PAS mengutip dana.


  • Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.


  • Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.


  • Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Ujar Shabrimi, pernyataan fitnah tersebut yang diucapkan dan diedarkan pada sidang akhbar tersebut telah mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar utama tempatan dan telah disiarkan di televisyen.


Ia juga telah dimuatturun daripada laman sesawang yang pada masa yang relevan mempunyai jutaan pengguna, kesemuanya mempunyai akses percuma dan terbuka kepada fitnah-fitnah yang diadukan, katanya.


"Tindakan kedua Adun ini juga telah meletakkan anakguam kami dalam satu kancah pertikaian umum dan mengheret beliau dalam suatu skandal, fitnah konspirasi, jenayah, kebencian dan buruk sangka umum (odium), kehinaan (contempt) awam dan tekanan serta kemudaratan mental yang amat sangat akibat kegelisahan, kerisauan dan ketakutan akan ditangkap oleh pihak berkuasa, seterusnya beroleh keaiban umum," katanya.


Sehubungan itu, Husam telah mengarahkan pihak peguam yang diwakili Tetuan Saiful Kasri & Associates mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua Adun berkenaan dan New Straits Times (M) Berhad, katanya.


"Akhirnya pihak Adun berkenaan telah bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka kepada anakguam kami serta menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan," katanya.


Dengan notis permohonan maaf tersebut, maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap Husam adalah fitnah semata-mata, tidak benar dan tidak berasas, kata Ahmad Shabrimi. "Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salahlaku yang didakwa.


Pihak kami akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik anakguam kami. Kami juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain," katanya./wann