Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday 8 February 2011

Ucapan Ana Di Majlis Sua Kasih Kita Bersaudara, 9 Januari 2011

Assalamu’alaikum WarahmatuLlahi Wabarakaatuh
Salam sejahtera.

Tok Guru, Kak Nuri, Dr. Lo’ Lo dan saudara semua….

1.0 31 Disember 2008 yakni dua tahun yang sudah; selepas menekuni perubahan pola fikir dan hati budi rakyat pelbagai kaum…selepas berbondong-bondong rakyat menyertai kita dan akhirnya memberi mandat politik untuk memerintah 5 negeri….pertukaran landskap siasah tanah air…keinginan untuk lebih mengenali (lita’arafu) serta memahami antara satu sama lain : kesan daripada hilangnya percaya manusia pada persekitaran politik pecah dan perintah - method pentadbiran yang diwarisi BN daripada penjajah.

2.0 Persekitaran politik yang berterusan menghisap darah rakyat bawahan hatta golongan pertengahan. Persekitaran politik - BN yang tidak sanggup menerima realiti kekalahan; justeru tanpa malu, tanpa segan bahkan secara terang-terangan menghambur hatta berterusan meniupkan sentimen perkauman….

3.0 MAKA Lajnah Penerangan dan Dakwah telah memajukan idea Kempen Kita Bersaudara….bersama Lajnah Perpaduan Nasional kami jadikannya satu realiti…demi kepentingan ummah.

4.0 Justeru, di ambang sambutan Tahun Baru 2009…dengan tema “Masehi Dinanti, Hijrah Dirai – Kita Bersaudara”… Kempen Semarakkan Rasa Perpaduan Dan Anti Perkauman – Kita Bersaudara ini telah dilancarkan di bawah percikan bunga api tahun baru di Stadium Muhammad, Kota Bharu Kelantan. Dilengkapi ucapan pimpinan rakyat pelbagai kaum. Sekaligus mengambil keberkatan seorang Tok Guru, Negarawan dan Mursyidul Am sebuah Gerakan Islam ulung tanahair di bawah kepimpinan Tok Guru Presiden sendiri.

5.0 Bermula pada hari itu, kami berusaha untuk menjadi sebahagian daripada nama-nama para pejuang “Rahmatan lil alamin” [Rahmat kepada seluruh alam ]…untuk melakar sejarah baru, beriltizam memastikan keharmonian dan solidariti ummat.

6.0 Pun begitu, Kami tahu, nun jauh di hadapan sana…untuk turun ke khalayak masyarakat, untuk turun ke khalayak rakyat ; bukanlah suatu usaha yang mudah. Jalan setapak setiap pendakwah…laluannya penuh cabang, pelbagai liku, onak ranjau berduri….

7.0 Kami juga tahu bahawa tiada permaidani merah indah…tiada haruman kasturi. Mehnah dan tribulasinya barangkali belum biasa kami tempuh. Ibtila’ yakni ujian yang terbentang bukan semuanya terduga, bukan semuanya terunjur dan tergambar di mata hatta terfikir dek minda….

8.0 Namun, Tok Guru, Kak Nuri, Dr. Lo’Lo dan semua….Kami ini generasi PAS yang berjiwa perwira. Kami ini generasi PAS yang berjiwa merdeka. Kami ini generasi PAS yang sudah lama ditarbiyyah (dididik) , ditamrin (dilatih) untuk siap siaga di perbatasan ummah…

9.0 Kami ini generasi muda negara yang sudah cuak dan muak dengan janji-janji perpaduan yang sekian lama dimomokkan pemerintah. Kami ini generasi muda yang sedar dan tahu betapa begitu banyak daripada sejarah pembentukan tanahair ini sendiri yang didustakan lantas sekian lama kami dihidangkan dengan pelbagai maklumat yang salah, waima membesar dalam prasangka perkauman dalam jenama BN!

10. Kami ini Generasi muda yang cuak dan muak dengan sentimen perkauman yang kapan sahaja bisa menggila…. hatta menghancurkan Negara. Sentimen keMelayuan sempit yang upaya bertukar menjadi Bom Jangka lantas menghancurkan segala-galanya…. Menjadikan kita sesama manusia kekal berpecah dan terpisah.

11. Fasa 50 tahun pertama Malaysia sebenarnya bergerak dalam kepungan dan kongkongan idea perpaduan yang sempit. Strategi menanam rasa takut dan tidak selesa antara pelbagai kaum. Lantas menjadikan BN kononnya sebagai pelindung, pembela dan bagi wira kaum masing-masing.

12. Justeru Tok Guru, Kak Nuri, Dr. Lo Lo…Kami nekad dan tekad…dalam faham serta semangat al Hujurat..…melorong diri, hati dan jua minda ; Menjadi Sang Murabbi yang melangkah dakwah. Memupuk perasaan Saling Memahami, Saling Menghormati dan Saling Mengasihi di kalangan rakyat pelbagai kaum : baik Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun, Bajau, Suluk, Sungai, Bugis, Dayak, Iban,Melanau, Siam dan Orang-Orang Asli ; di Pos Kemar – menyusuri Tasik Banding, di Pos Poi mendaki gunung dan bukit dan pos-pos yang lain insyaAllah.

13. Kami usaha melorong diri tampil sebagai sang Murabbi melangkah dakwah…menyampaikan risalah daripada Pendakwah yang Agung…Nabi Muhammad SAW.

14. Membawa nilai-nilai rahmatan lil alaamin [ rahmat kepada seluruh alam ]. Berjalan kaki, menaiki motor, kereta biasa, pacuan 4 roda, bot dan sampan, feri burung dan kapal terbang…. Kota raya, pekan besar dan pekan kecil, kampung dan desa hatta pedalaman terpencil. Rumah batu, rumah kayu…atap genting, atap rumbiah, rumah pangsa, rumah panjang, atas tanah dan atas air…semuanya usaha kami sampai.

15. Yang berparti, tidak berparti, orang besar, orang kecil. Wanita, kanak-kanak dan orang tua. Kelompok Miskin, Orang Kelainan Upaya, orang Sakit, Warga Emas dan Armalah.

16. Dari Sambutan Masehi Dinanti, Hijrah Dirai - Kita Bersaudara, ke Rahsia 3C, XPDC Dakwah, Sutera Kasih-Tautan Hati, 90 Minit Bersama Warga Emas, ReTreat, Media Baru BMW 42, Halaqah, Hand Book Daei dan kini Sua Kasih – semuanya membawa tema Rahmatan lil alamin….KITA BERSAUDARA….
Tok Guru, Kak Nuri, Dr. Lo’ Lo’ dan semua…

17. Ada ketikanya kami teramat letih, adakalanya kami teramat sedih… Jalan dakwah ini sememangnya bukan mudah : Rencam dan rencah! Ada kalanya kami dibantu…dan dalam banyak keadaan kami juga dibiarkan sendiri. Pun begitu, kami faham dan sedar… Kepayahan dan kesusahan itu bukan untuk diratib dan diratap – ditangisi. Tapi ianya adalah Ibrah…yakni pengajaran dan pengalaman yang cukup mendewasakan. Halawatul Imannya lah yang menjadikan kami terus kuat dan tabah hingga ke hari ini.

18. Ada masanya, kami tiba di rumah kala embun jantan mula menitis… Ada masanya kami menahan kedinginan tidur di dalam khemah di perkampungan orang asli yang hutannya…iyya masih begitu dara. Sejuknya menggigit sampai ke tulang hitam kami. Ada masanya kami merentas kabus dingin di lebuhraya Utara Selatan. Dalam terik mentari atau hujan ribut hatta ombak yang membadai ketika merentasi Lautan Sulu.
19. Juga ada masanya, dalam konsistan bersama rakyat pelbagai kaum menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang dzalim maka kami akhirnya dihumban ke dalam lokap atau dibiarkan menggigil di atas simen atau tanah yang berbumbungkan langit dan berselimutkan embun pagi….

20. Iyya…kami bukan YB, bukan Exco hatta barangkali bukan juga pimpinan tertinggi parti. Bahkan ada kalangan kami yang kerjaya sepenuh masanya adalah Jundiyyah kepada jamaah. Tanpa elaun, tanpa gaji. Bahkan mungkin ada kalangan kami yang nama dan wajahnya langsung tiada siapa ambil tahu…namun… cukuplah Allah.

21. Walau bagaimanapun, mereka juga adalah pembantu-pembantu yang hebat untuk agama langit ini. Yang… alhamduliLlah diberikan kekuatan daripada sisiNya untuk membantu jamaah mengadakan pelbagai program dakwah merakyat. Meski tanpa peruntukan, bajet apatah lagi keprihatinan korporat. Meski tanpa habuan dan duluan. AlhamduliLlah. Kerana KITA percaya dan bersangka baik kepada Allah.
Tok Guru, Kak Nuri , Dr. Lo’ Lo’ dan semua….

22. Percayalah dan doakanlah…agar jiwa-jiwa kami senantiasa kekal di dalam genggamanNya.. Agar setiap derap langkah, tarikan dan hembusan nafas kami kekal meninggikan DAKWAH….mengembalikan manusia kepada fitrah persaudaran dalam acuan Allah, SibghatuLlah.

23. Kerana yang hitam,putih, coklat dan kuning langsat itu.. ; pelbagai bangsa, kaum, budaya, bahasa dan warna kulit HAKIKATNYA diciptakan oleh Tuhan yang SATU yakni Allah…. Dan sebagai bukti kehebatan serta kebijaksanaanNya. Kami akur itu. Dan mudah-mudahan akan tiba masa dan ketikanya seluruh rakyat Malaysia khususnya akan akur pada hakikat itu, InsyaAllah. Akur bahawa realitinya kita semua adalah dari rusuk dan kemudiannya rahim yang satu iaitu ADAM dan HAWA….
Tok Guru, Kak Nuri, Dr. Lo Lo dan semua…..

24. Kami telahpun berusaha melakukan yang terbaik dan saya percaya adik-adik dan sahabat-sahabat juga begitu. Baik laki-laki mahupun perempuan. Yang tua mahupun yang muda. Justeru, maaf jua akhirnya andai masih terdapat pelbagai kelemahan.

25. Shidie, Umar, Azri dan semua satria lelaki yang tidak jemu-jemu bersama dan membantu kami..terima kasih selamanya…terpahat dalam jiwa segala jerit perih kalian sepanjang memastikan tariqud dakwah (perjalanan dakwah) kami…untuk dapat diteruskan..

26. Mai, Fiza, Sham, Anjang, Kak Zu, Kak Raja dan Kak Ro…keep up a good work. Kalian sebenarnya boleh buat jauh lebih baik..

27. Dato’ Taki, Dr. Mariah, Kak Chida, Kak Mizan dan Kak Mumtaz…syukran jazakumuLlah.

28. Ustaz Abdullah, Asri, Ehsan, Cikgu Yusof dan semua…Moga segala usaha kita meski yang kerdil ini akan dinilai sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla…Tuhan kita bersama.

Mohon maaf zahir batin.
Hidup Persaudaraan. Hidup Islam.
Allahu Akbar!!!

Hormat,

RAJ MUNNI SAC LOGAN a.k.a AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

No comments:

Post a Comment